BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, 28 September 2015

Ciri-Ciri Etnik Di Malaysia

       Ramai daripada orang melayu di Semenanjung Tanah Melayu pada hari ini adalah keturunan daripada mereka yang berasal daripada Kepulauan Indonesia. Perlu diingat bahawa kedatangan mereka di Semenanjung Tanah Melayu di zaman itu (sebelum penjajahan) merupakan perpindahan biasa diantara satu kawasan Melayu ke kawasan Melayu yang lain. 


Latar Belakang Kaum?

Orang Jawa: 1. Penghijrahan beramai-ramai akibat dasar transmigasi Belanda, iaiatu perpindahan penduduk daripada Pulau Jawa.
2. Kebanyakan mereka terdiri daripada pekerja di ladang-ladang. Kebanyakan orang Jawa terdapat di Johor(Muar, Batu pahat, dan Pontian), Selangor(Klang, K. Selangor, K. Langat) dan Perak(Hilir Perak, Krian, Parit Buntar)

Orang Banjar: 1. Berasal daripada daerah Banjarmasin, Kalimantan
2. Kebanyakan mereka melibatkan diri dalam perusahaan tanaman padi.
3.Kebanyakan orang banjar mendiami kawasan pinggir pantai dan lembah-lembah sungai seperti kerian.


Friday, 25 September 2015

Latar Belakang Penduduk Sabah Dan Sarawak

       Sabah yang terletak di bahagian utara Borneo, iaitu kira-kira pada garis lintang 30 42′ ke utara dan garis bujur di antara 1150 20′ hingga 1190 15′ ke timur. Ia merupakan negeri yang kedua terbesar di Malaysia dengan keluasan kira-kira 73,620 kilometer persegi, bersempadan dengan Wilayah Kalimantan, Indonesia di sebelah selatan dan negeri Sarawak di sebelah barat-daya.
         Pada awalnya negeri ini dihuni oleh daripada beberapa kumpulan suku kaum pribumi. Menurut klasifikasi awal yang diberikan oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara, penduduk peribumi asli Sabah (Borneo Utara) terdiri daripada kaum Dusun, Murut, Bisaya, Orang Sungai, Kwijau, Kedayaan, Idahan, Bajau, Brunei, Dayak, Suluk, dan lain-lain. Dusun dan Murut merupakan dua kumpulan kaum yang terbesar bilangannya. Mereka mewakili lebih kurang 50 peratus daripada jumlah penduduk Sabah dalam kurun masehi ke-19. Pada keseluruhannya penduduk peribumi merangkumi lebih kurang 80 peratus daripada penduduk Borneo Utara ketika itu. Namun tidak dapat dipastikan dengan tepat bila dan bagaimanakah kemunculan penduduk peribumi asli yang mula sekali menghuni pulau Borneo amnya. Ini kerana sebelum penjajahan kuasa-kuasa Barat, tidak wujud sejarah bertulis di kalangan kumpulan-kumpulan etnik di Borneo.
       Kisah-kisah lalu mengenai pengalaman dan kehidupan mereka wujud dalam bentuk tradisi lisan yang disampaikan turun temurun hingga ke hari ini. Nenek moyang peribumi asli di Borneo dipercayai telah melalui beberapa siri migrasi sejak lebih kurang 20 ribu tahun yang lalu. Kedatangan dan pendudukan awal mereka adalah berlaku di kawasan-kawasan pantai dan tanah rendah. Lambat laun kemudian penempatan mereka mula tersebar ke kawasan-kawasan pedalaman. Kaum Dusun dipercayai berasal dan keturunan Cina, orang Murut berasal dari Annam di utara Burma, Bajau dari selatan Kepulauan Filipina dan Bisaya dari kalangan kaum Hiligayamon di Filipina dan kaum-kaum lain dari Kepulauan Cocos dan Maluku, Indonesia dan lain-lain
       Pada waktu sebelum abad ke-6, kawasan yang kini dikenali sebagai Sabah, Brunei dan Sarawak adalah berpusat pada kerajaan Brunei dan kerajaan Brunei juga merupakan pusat perdagangan dengan China. Wilayah ini sebaliknya dipengaruhi oleh dua kuasa besar pada waktu itu, iaitu Sri Vijaya di Sumatra dan kemudian Majapahit di Jawa. Orang-orang Cina telah datang untuk membuat perdagangan dan hubungan diplomatik dengan Borneo Utara. Rekod Sejarah Brunei (Brunei Annals) telah merakamkan tentang penempatan mereka di kawasan Kinabatangan. Bukti-bukti Arkeologi iaitu seramik yang ditemui di Borneo Utara menunjukkan bahawa orang-orang Cina ada menjalankan perdagangan secara bertukar barang, antara seramik orang-orang Cina dengan rempah ratus dari penduduk tempatan.
       Bagaimanapun, pada awal abad ke-15, Empayar Melaka di bawah pemerintahan Parameswara telah menyebarkan pengaruhnya dan seterusnya mengambil alih perdagangan Brunei. Perubahan ini menyebabkan agama Islam tersebar di wilayah Brunei oleh pedagangnya pada akhir abad ke-15. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 telah menyebabkan Sultan Brunei mengambil alih kepimpinan Islam dari Melaka. Semasa pemerintahan Sultan Bolkiah, kerajaan Brunei telah memperluaskan pengaruhnya ke utara sehingga ke Luzon dan Sulu serta di sebelah selatan dan barat Borneo.


Sejarah Kewujudan Masyarakat Majmuk di Malaysia

Tanah Melayu seperti yang kita tahu suatu ketika dahulu merupakan sebuah tempat tumpuan pengembara, pelayar dan juga sebuah pusat perdagangan. Justeru tidak hairanlah Tanah Melayu dahulunya terkenal sebagai sebuah tempat persinggahan dan penempatan bagi orang-orang daripada pelbagai kebudayaan dan asal usul. Lantaran itu, konsep masyarakat majmuk bukanlah satu fenomena baharu atau asing di Malaysia. Kebanyakan ahli sejarah dan antropologi sosial  bersetuju bahawa struktur susunan ras etnik dan corak penempatan penduduk masa kini sebenarnya ditentukan oleh zaman perkembangan kolonial dan eksploitasi orang British di Semenanjung Tanah Melayu. Sekitar tahun 1786 hingga 1914 merupakan zaman paling penting dalam menentukan pola-pola etnik, ekonomi dan politik masa kini di Malaysia.
Masyarakat majmuk di negara ini wujud apabila berlakunya kemasukan kaum Cina dan India dari luar alam Melayu (Chamil Wariya, 2007:108). Generasi awal mereka telah berhijrah ke negara ini daripada negara asal masing-masing adalah untuk memulakan kehidupan baharu di sini. Sebahagian besar mereka datang dengan tujuan untuk mencari rezeki dan mengumpul kekayaan sebagai bekalan setelah mereka kembali semula ke negara asal mereka.  
Berdasarkan tinjauan histiografi, sebenarnya kedatangan kaum imigran Cina dan India ini telah bermula sejak abad keempat belas lagi iaitu sekitar tahun 1349. Kedatangan mereka bermula dengan kehadiran sami-sami Buddha dan kemudiannya barulah diikuti oleh pedagang-pedangang (Chamil Wariya, 2007:109). Pada peringkat ini, kedatangan mereka hanyalah sekadar untuk berdagang, kemudian pulang semula ke negara asal mereka.
Populasi orang Cina di Melaka kian meningkat saban tahun. Menurut Victor Purcell yang dipetik dari Chamil Wariya (2007), sewaktu Portugis menawan Melaka pada 1511, dianggarkan hanya sekitar 300-400 orang Cina yang menetap di Melaka, namun menjelang 1750, jumlah ini telah meningkat kepada 2161 orang dan seterusnya pada tahun 1834 bilangan imigran Cina meningkat menjadi 4143. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa dasar buka pintu yang diamalkan oleh kerajaan Melaka telah menggalakkan kedatangan imigran ke alam Melayu terutamanya di Tanah Melayu.
Meskipun begitu, kedatangan Inggeris yang berjaya menawan Pulau Pinang pada tahun 1786 dan Singapura pada tahun 1819 telah mengubah senario penghijrahan imigran Cina dan India ke Tanah Melayu. Pada waktu ini kerajaan British telah menggalakkan kemasukan imigran Cina dan India secara besar-besaran kerana tenaga mereka amat diperlukan untuk menampung keperluan kegiatan ekonomi di Tanah Melayu terutamanya dalam industri bijih timah dan getah (Mahdi Shuid et al, 2011:101-104). Kepesatan perkembangan ekonomi Tanah Melayu ini telah menjadi faktor penarik kedatangan imigran-imigran ini ke Tanah Melayu.
Selain kepesatan ekonomi, syarat kemasukan yang longgar dan tiadanya sekatan yang dikenakan oleh kerajaan British juga menjadi penyumbang kepada kehadiran imigran Cina dan India secara besar-besaran di Tanah Melayu. Malahan British juga telah memperkenalkan sistem yang lebih sistematik untuk memastikan bekalan buruh dari kalangan imigran ini berterusan. Untuk itu, British telah memberi jaminan keselamatan nyawa serta harta benda yang jauh lebih baik dari negara asal mereka (Mahdi Shuid et al, 2011:101). Hal ini sedikit banyak menjadi faktor penarik kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu.
Dalam pada itu, kehadiran imigran Cina dan India ini juga didorong oleh faktor penolak dari negara asal mereka sendiri. Misalnya di China, ketidakstabilan politik dan ekonomi telah menyebabkan ramai rakyat berhijrah keluar dari China. Menurut Andaya B.W. dan Andaya L.Y. (1983) yang dipetik daripada Ismail bin Said (2012:14-15), rakyat China sebenarnya ingin keluar daripada hidup yang penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu mereka terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Begitu juga dengan imigran India, mereka turut menghadapi masalah kemiskinan dan kebuluran yang berleluasa di India dan ini telah memaksa rakyatnya untuk berhijrah ke negara lain termasuk Tanah Melayu.  
Setelah kemasukan semua imigran ini, maka bermulalah proses pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti yang kita lihat pada masa sekarang. Proses pembentukan masyarakat majmuk ini pada mulanya adalah sukar kerana wujudnya perbezaan fahaman, amalan, ras dan etnik serta kehidupan seharian (Mohamad Faiza bin Ibrahim, 2011:5). Dalam pada itu, wujud juga konflik dalam proses pembentukan masyarakat majmuk di negara ini, satu daripadanya adalah peristiwa 13 mei 1969.
Penghijrahan imigran-imigran ini akhirnya telah menyebabkan wujudnya kelompok baharu dalam masyarakat di negara ini. Sebagai contoh, hasil daripada penghijrahan orang Cina dan India ke negara ini telah wujud kelompok Baba-Nyonya yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Kelompok-kelompok ini wujud hasil daripada asimilasi budaya asal mereka dengan budaya tempatan di negara ini. Asimilasi bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, dengan ini wujudlah beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain.
Kesimpulannya, kemasukan imigran-imigran dari China, India, dan dari  kepulauan sekitar Tanah Melayu telah menjadi titik tolak kepada bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk di negara ini. Pengaruh imigran-imigran ini di Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu pada ketika itu. Kedatangan golongan imigran ini ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu konsep masyarakat yang baharu, iaitu konsep masyarkat majmuk hasil dari wujudnya kepelbagaian budaya mereka yang seterusnya diasimilasikan ke dalam sistem sosial di Tanah Melayu.

Tuesday, 15 September 2015

Komposisi Etnik Penduduk Malaysia




Definisi Etnik: Satu kelompok manusia yang mempraktikkan atau mengamalkan budaya yang hampir sama, sama ada dari aspek adat resam, bahasa, pakaian atau kegiatan ekonomi.

Konsep etnik selalunya dikaitkan dengan konsep ras, bangsa dan kaum walaupun pada hakikatnya ketiga-tiga tersebut mempunyai maksud yang berbeza. Dalam hal ini ras dan bangsa lebih menekankan perbezaan fizikal atau sifat-sifat yang berkaitan dengan biologi seperti keturunan dan pertalian darah.


  • Semenanjung Malaysia ( Melayu, Cina, India, Sikh, Thai, Orang Asli)
  • Sarawak (Iban, Melanau, Bidayuh, Orang Ulu, Bisaya, Melayu)
  • Sabah (Kadazan, Bajau, Murut, Dusun, Bugis, Sungai)

Maklumat diatas memperlihatkan kepelbagaian jenis penduduk di Negara ini. Malahan etnik melayu ini dapat dibezakan berdasarkan negeri, iaitu dibezakan melalui dialek Bahasa dan Unsur-unsur budaya.



Sejarah dan Latar Belakang Masyarakat  Malaysia.



Tiga kaum yang terbesar di Tanah Melayu ialah, Melayu, Cina dan India. Sebelum penemuan tapak bijih timah oleh Long Jaafar pada tahun 1848, majoriti penduduk di Tanah Melayu terdiri daripada orang Melayu. Hanya sebilangan kecil Cina yang datang ke Tanah Melayu sebagai pedagang dan membuka penempatan mereka di Melaka, Kuala Terengganu, Sungai Johor, Sungai Pahang dan Kelantan. Sementara itu, sebilangan kecil Orang India yang bekerja sebagai buruh di ladang kopi dan tebu yang terletak di Pulau Pinang dan Seberang Perai.

     Pada pertengahan abad ke-19 berlaku penghijrahan masuk kaum Cina dan India secara beramai-ramai ke Tanah Melayu. Fenomena ini berlaku ekoran dasar kolonial British yang membawa masuk kaum-kaum tersebut untuk tujuan dalam sektor ekonomi.


     Penduduk di Sabah dan Sarawak juga pelbagai. Mereka dapat dibezakan dari segi kawasan tempat tinggal, ekonomi, sosial dan budaya.

     Di sabah terdapat 23 suku kaum, namun antara suku kaum yang terbesar ialah Kadazan, Bajau, Murut, Suluk dan Orang Brunei.

     Sarawak juga didiami oleh pelbagai suku kaum yang setiap satunya mempunyai ciri-ciri tersendiri. Antara suku kaum yang terkenal ialah Melayu, Iban, Bidayuh, Penan dan Kelabit.

     Orang asli di Semenanjung Tanah Melayu boleh dibahagikan kepada tiga rumpun bangsa iaitu Senoi, Negrito dan Melayu Asli. dalam kesemua rumpun bangsa ini terdapat 18 jenis suku kaum. Di kalangan mereka 12 bahasa perantaraan yang juga berbeza.

   Suku kaum negrito tertumpu di negeri Kedah, Perak, Kelantan dan Pahang. Mempunyai tubuh badan yang kecil, berkulit gelap, mempunyai hidung yang besar dan berambut kerinting. Kegiatan utama mereka ialah bercucuk tanam dan meraih hasil hutan.


Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional

     Selepas kemerdekaan, Negara menghadapi pelbagai masalah dalaman, terutama masalah perpaduan dan integrasi antara kaum. Masalah perpaduan dan integrasi antara kaum. Masalah perpaduan wujud implikasi pemisahan tempat tinggal, perbezaan pekerjaan, sistem pendidikan, kepercayaan atau agama, fahaman politik, masalah ekonomi dan sistem pemerintahan yang diperkenalkan oleh penjajah.


Definisi Perpaduan

     Perpaduan nasional umumnya merujek kepada penyatuan berbagai-bagai kelompok yang mempunyai latar belakangb sosial dan kebudayaan yang berbeza, menjadi satu entiti fizikal. Penyatuan ini merupakan penyatuan zahir dan luaran. Menyatukan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung menjadi sebuah negara atau persekutuan, misalnya merupakan satu usaha untuk mencapai perpaduan nasional.


Definisi Integrasi

     Konsep integrasi adalah lebih luas. Ia merupakan proses penyatuan kelompok-kelompok yang berbeza latar belakang, menjadi satu entiti yang terikat oleh norma dan nilai serta kepentingan bersama. Jika dihalusi pengertian ini, akan kelihatan satu unsur penting di dalamnya iaitu, anggota-anggota kelompok yang bersatu padu, sekalipun berlainan latar belakang, masing-masing berasa dipunyai dan mempunyai satu kelompok yang sama. (Sense of belonging)