BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, 25 September 2015

Latar Belakang Penduduk Sabah Dan Sarawak

       Sabah yang terletak di bahagian utara Borneo, iaitu kira-kira pada garis lintang 30 42′ ke utara dan garis bujur di antara 1150 20′ hingga 1190 15′ ke timur. Ia merupakan negeri yang kedua terbesar di Malaysia dengan keluasan kira-kira 73,620 kilometer persegi, bersempadan dengan Wilayah Kalimantan, Indonesia di sebelah selatan dan negeri Sarawak di sebelah barat-daya.
         Pada awalnya negeri ini dihuni oleh daripada beberapa kumpulan suku kaum pribumi. Menurut klasifikasi awal yang diberikan oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara, penduduk peribumi asli Sabah (Borneo Utara) terdiri daripada kaum Dusun, Murut, Bisaya, Orang Sungai, Kwijau, Kedayaan, Idahan, Bajau, Brunei, Dayak, Suluk, dan lain-lain. Dusun dan Murut merupakan dua kumpulan kaum yang terbesar bilangannya. Mereka mewakili lebih kurang 50 peratus daripada jumlah penduduk Sabah dalam kurun masehi ke-19. Pada keseluruhannya penduduk peribumi merangkumi lebih kurang 80 peratus daripada penduduk Borneo Utara ketika itu. Namun tidak dapat dipastikan dengan tepat bila dan bagaimanakah kemunculan penduduk peribumi asli yang mula sekali menghuni pulau Borneo amnya. Ini kerana sebelum penjajahan kuasa-kuasa Barat, tidak wujud sejarah bertulis di kalangan kumpulan-kumpulan etnik di Borneo.
       Kisah-kisah lalu mengenai pengalaman dan kehidupan mereka wujud dalam bentuk tradisi lisan yang disampaikan turun temurun hingga ke hari ini. Nenek moyang peribumi asli di Borneo dipercayai telah melalui beberapa siri migrasi sejak lebih kurang 20 ribu tahun yang lalu. Kedatangan dan pendudukan awal mereka adalah berlaku di kawasan-kawasan pantai dan tanah rendah. Lambat laun kemudian penempatan mereka mula tersebar ke kawasan-kawasan pedalaman. Kaum Dusun dipercayai berasal dan keturunan Cina, orang Murut berasal dari Annam di utara Burma, Bajau dari selatan Kepulauan Filipina dan Bisaya dari kalangan kaum Hiligayamon di Filipina dan kaum-kaum lain dari Kepulauan Cocos dan Maluku, Indonesia dan lain-lain
       Pada waktu sebelum abad ke-6, kawasan yang kini dikenali sebagai Sabah, Brunei dan Sarawak adalah berpusat pada kerajaan Brunei dan kerajaan Brunei juga merupakan pusat perdagangan dengan China. Wilayah ini sebaliknya dipengaruhi oleh dua kuasa besar pada waktu itu, iaitu Sri Vijaya di Sumatra dan kemudian Majapahit di Jawa. Orang-orang Cina telah datang untuk membuat perdagangan dan hubungan diplomatik dengan Borneo Utara. Rekod Sejarah Brunei (Brunei Annals) telah merakamkan tentang penempatan mereka di kawasan Kinabatangan. Bukti-bukti Arkeologi iaitu seramik yang ditemui di Borneo Utara menunjukkan bahawa orang-orang Cina ada menjalankan perdagangan secara bertukar barang, antara seramik orang-orang Cina dengan rempah ratus dari penduduk tempatan.
       Bagaimanapun, pada awal abad ke-15, Empayar Melaka di bawah pemerintahan Parameswara telah menyebarkan pengaruhnya dan seterusnya mengambil alih perdagangan Brunei. Perubahan ini menyebabkan agama Islam tersebar di wilayah Brunei oleh pedagangnya pada akhir abad ke-15. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 telah menyebabkan Sultan Brunei mengambil alih kepimpinan Islam dari Melaka. Semasa pemerintahan Sultan Bolkiah, kerajaan Brunei telah memperluaskan pengaruhnya ke utara sehingga ke Luzon dan Sulu serta di sebelah selatan dan barat Borneo.


1 comment: